PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA
Selamat sejahtera kepada wahai pembaca !!!! Sekian lama berminat untuk menulis catatan blog akhirnya sampai juga masanya. Hari ini semasa mengajar bahasa Melayu dalam kelas tahun 1 saya termenung-menung tentang bagaimana seseorang manusia dapat menguasai lebih daripada satu bahasa? Bagaimanakah kita memperolehi bahasa kedua dan apakah faktor yang mempengaruhinya? Untuk jawapan yang lebih terperinci bacalah blog ini sehingga akhir.
Pemerolehan bahasa ialah proses perkembangan bahasa manusia, iaitu manusia memperoleh keupayaan untuk memahami dan menggunakan bahasa. Melalui proses ini, kita belajar menghasilkan dan menggunakan bahasa untuk berkomunikasi sama ada secara lisan mahupun bukan lisan. Proses pemerolehan bahasa ini berlaku seawal usia bayi. Manakala, pemerolehan bahasa kedua pula berlaku sepanjang proses perkembangan bahasa seseorang individu. Menurut Abdullah Hassan (2007) pula mendefinisikan bahasa kedua sebagai bahasa yang dipelajari selepas bahasa pertama, iaitu bahasa ibundanya. Menurut Lee Ngikk Ting dan Faridah Mydin (2022), pembelajaran bahasa kedua merupakan sesuatu perkara yang baharu terhadap murid bukan penutur natif. Menurut Zuraini Ramli (2018), hampir di seluruh dunia, fokus utama program pendidikan bahasa sebagai bahasa kedua, ketiga, malah bahasa asing adalah untuk menyediakan pelajar bagi berhadapan dengan suasana pembelajaran di sekolah dalam bahasa yang baharu. Tidak seperti bahasa pertama, pemerolehan bahasa kedua kebiasaannya berlaku secara formal dan lebih terancang, iaitu melalui proses pembelajaran. Contohnya, seseorang murid berbangsa India yang bahasa ibundanya bahasa Tamil akan mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di sekolahnya.
FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA
☺FAKTOR SOSIAL
Faktor sosial merupakan elemen yang penting dalam pemerolehan bahasa kedua. Menurut Noor Aina Dani (2007), pembelajaran bahasa kedua berlaku secara semula jadi sama ada dengan pembelajaran bahasa yang berlaku dalam komunikasi seharian atau daripada tunjuk ajar guru. Pembelajaran seperti ini memberikan hasil yang tidak seragam kerana setiap individu memperoleh bahasa dengan cara masing-masing. “Tahu tak kawan-kawan, saya berjumpa dengan seorang kawan yang bernama Aisyah yang berbangsa Melayu dapat bercakap dalam bahasa Tamil walaupun dia tidak mempunyai latar belakang keluarga orang India” Pertama kali berjumpa dengan dia saya amat terkejut apabila dia menjawab soalan saya dalam bahasa Tamil. Apabila berbual-bual dengan dia saya mendapat faktor yang amat mempengaruhinya untuk mempelajari bahasa kedua ini adalah faktor sosial. Ini video Aisyah berbahasa Tamil:
https://vt.tiktok.com/ZSYuWuJCt/
Terdapat beberapa elemen penting dalam faktor sosial yang mempengaruhinya. Faktor pertama ialah interaksi sosial yang berlaku di tempat tinggal dan sekolahnya. Dia banyak mempunyai kawan-kawan berbangsa India. Oleh itu, melalui komunikasi dengan mereka dia dapat mempelajari bahasa Tamil. Kedua, ialah norma dan jangkaan sosial bahasa tersebut. Dia bekerja di syarikat orang India iaitu “Neutra” dan banyak membuat konten Tik Tok dalam bahasa Tamil. Oleh itu, persekitaran pekerjaan dia menganggap bahasa kedua ini lebih penting dan dia lebih cenderung untuk menggunakan bahasa tersebut secara aktif. Akhirnya, adalah minat tersendiri dan motivasi intrinsik. Dia memang berminat mempelajari bahasa Tamil kerana dia suka menonton filem-filem dan mendengar lagu Tamil. Oleh itu, motivasi yang menjadikan dia belajar bahasa Tamil adalah untuk menonton filem tanpa membaca sari katanya. Haha!! Walaupun kelakar tetapi inilah alasan yang diberikan olehnya.
RUJUKAN
Lee Ngikk Ting & Faridah Mydin. (2022). Meningkatkan kemahiran membaca dan
motivasi murid bukan penutur natif dalam Bahasa Melayu melalui kaedah
ekspres-I. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(5), 1-21.
Zuraini Ramli. (2018). Psikolinguistik dalam pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa
kedua. Jurnal Psikolinguistik, 4(1), 69-91.
Tahniah ! Catatan ini sangat informatif, menerangkan konsep pemerolehan bahasa kedua dengan jelas. Anda berjaya menekankan faktor sosial yang memainkan peranan penting dalam proses ini. Contoh yang diberikan mengenai Aisyah sangat menarik dan relevan, menunjukkan bagaimana interaksi sosial dan minat peribadi dapat mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua. Penggunaan rujukan yang relevan juga memperkuatkan hujah anda.
BalasPadamBlog ini sangat menarik dan informatif! Penulis berjaya mengaitkan konsep pemerolehan bahasa kedua dengan contoh-contoh praktikal yang memudahkan pemahaman. Faktor sosial yang dibincangkan memberikan perspektif yang mendalam tentang bagaimana persekitaran dan minat individu mempengaruhi pembelajaran bahasa kedua. Tahniah atas penulisan yang jelas dan menginspirasi ini! Teruskan berkongsi pengetahuan yang bermanfaat.
BalasPadamSetelah membaca perkongsian anda, dapat saya simpulkan bahawa perkongsian ini dapat memberikan gambaran yang jelas dan menyeluruh tentang pemerolehan bahasa dan pentingnya pendekatan yang berkesan dalam pengajaran bahasa kedua. Terima kasih atas perkongsiannya. Sangat bermanfaat!
BalasPadam